Catatan Popular

Khamis, 19 Mei 2011

Kisah Para Wali : Fuzail dengan Khalifah Harun ar-Rasyid

Kisah Para Wali : Fuzail dengan Khalifah Harun ar-Rasyid


Abu Ali al-Fuzail bin Iyaz at-Talaqani dilahirkan di Khurasan. Diriwayatkan bahawa sewaktu meningkat remaja, Fuzail adalah seorang pencuri. Setelah bertaubat, Fuzail pergi ke Kufah kemudian ke Makkah, di mana ia tinggal beberapa tahun lamanya hingga wafatnya pada tahun 187H/803M. Nama Fuzail cukup terkenal sebagai seorang ahli hadis, dan keberaniannya berdakwah kepada Harun ar-Rasyid menjadi sebutan orang.

Fuzail dengan Khalifah Harun ar-Rasyid

Pada suatu malam, Harun ar-Rasyid memanggil Fazl Barmesid, salah seorang di antara pengawal kesayangannya. Harun ar-Rasyid berkata kepada Fazl: “Malam ini bawalah aku kepada yang boleh menunjukkan kapadaku siapakah aku ini sebenarnya. Aku telah jemu dengan segala kebesaran dan kebanggaan.”

Fazl membawa Harun ar-Rasyid ke rumah Sufyan al-Uyaina. Mereka mengetuk pintu dan dari dalam Sufyan menyahut: “Siapakah itu?”

“Pemimpin kaum Muslimin,” jawab Fazl.

Sufyan berkata: “Mengapa sultan mahu menyusahkan diri. Mengapa tidak diberitahu sahaja padaku sehingga aku datang sendiri menemuinya?”

Mendengar ucapan tersebut Harun ar-Rasyid berkata: “Ia bukan orang yang kucari. Ia pun mengagungkanku seperti orang lain.”

“Jika demikian, Fuzail bin ‘Iyaz adalah orang yang engkau cari. Pergilah kepadanya.” Kemudian Sufyan membacakan ayat: “Apakah orang-orang yang perbuat aniaya menyangka bahawa Kami akan menyamakan mereka dengan orang-orang yang beriman serti melakukan perbuatan-perbuatan yang soleh?”

Harun ar-Rasyid mengatakan: “Seandainya aku menginginkan nasihat-nasihat yang baik nescaya ayat itu telah mencukupi.”

Kemudian mereka mengetuk pintu rumah Fuzail. Dari dalam Fuzail bertanya: “Siapakah itu?”

“Pemimpin kaum Muslimin,” jawab Fazl.

“Apakah urusannya dengan aku dan apakah urusanku dengan dia?” tanya Fuzail.

“Bukankah suatu kewajipan untuk mematuhi orang yang memegang kuasa?” sela Fazl.

“Jangan kamu menggangguku,” seru Fuzail.

“Perlukah aku menolak pintu dengan kekuasaanku sendiri atau dengan perintah sultan?” tanya Fazl.

“Tidak ada sesuatu hal yang disebut kekuasaan,” jawab Fuzail. “Jika engkau secara paksa menceroboh masuk, engkau tahu apa yang engkau lakukan.”

Harun ar-Rasyid melangkah masuk, Begitu Harun menghampirinya, Fuzail meniup lampu sehingga padam agar ia tidak dapat melihat wajah sultan. Harun ar-Rasyid menghulurkan tangannya dan disambut oleh tangan Fuzail yang kemudian berkata: “Betapa lembut dan halus tangan ini! Semoga tangan ini terhindar dari api neraka!”

Setelah berkata demikian Fuzail berdiri dan berdoa. Harun ar-Rasyid meresa hatinya sangat tersentuh dan tidak dapat menahan tangisannya.

“Katakanlah sesuatu kepadaku,” Harun bermohon kepada Fuzail.

Fuzail mengucapkan salam kepadanya dan berkata: “Sebelum ini, bapa saudara Nabi Muhammad, pernah meminta kepada beliau: “Jadikanlah aku pemimpin bagi sebahagian umat manusia.” Nabi menjawab: “Pak cik, untuk sesaat aku pernah mengangkatmu menjadi pemimpim dirimu sendiri.” Dengan jawapan ini yang dimaksudkan Nabi adalah: Sesaat mematuhi Allah adalah lebih baik daripada seribu tahun dipatuhi oleh manusia. Kemudian Nabi menambah lagi: “Kepimpinan akan menjadi penyesalan pada hari kebangkitan nanti.”

“Ceritakanlah,” Harun ar-Rasyid meminta.

“Ketika diangkat menjadi khalifah, Umar bin Abdul Aziz memanggil Salim bin Abdullah, Raja’ bin Hayat, dan Muhammad bin Kaab. Umar berkata kepada mereka: “Hatiku sangat gelisah kerana ujian ini. Apakah yang harus kulakukan? Aku tahu bahawa kedudukan yang tinggi ini adalah satu ujian walaupun orang-orang lain menganggapnya sebagai satu kurnia. Salah seorang di antara ketiga sahabat Umar itu berkata: “Jika engkau ingin terlepas dari hukuman Allah di akhirat nanti, pandanglah setiap Muslim yang lanjut usia sebagai ayahmu sendiri, setiap Muslim yang masih kanak-kanak sebagai anakmu sendiri, dan perlakukanlah mereka sebagaimana seharusnya seorang memperlakukan ayahnya, saudaranya dan anak-anaknya.”

“Ceritalah lagi,” Harun ar-Rasyid meminta.

“Anggaplah negeri Islam sebagai rumahmu sendiri dan penduduknya sebagai keluargamu sendiri. Ziarahilah ayahmu, hormatilah saudaramu dan bersikap baiklah kepada anakmu. Aku sayangkan jika wajahmu yang tampan ini akan terbakar hangus di dalam neraka. Takutilah Allah dan taatilah perintah-perintah-Nya. Berhati-hatilah dan bersikaplah secara bijaksana, kerana pada hari Akhirat nanti Allah akan meminta apa yang dipertanggungjawabkan olehmu sehubungan dengan setiap Muslim dan Dia akan memeriksa apakah engkau telah berlaku adil kepada setiap orang. Apabila ada seorang wanita uzur yang tertidur dalam keadaan lapar, di hari Akhirat nanti ia akan menarik pakaianmu dan akan memberikan kesaksian yang akan memberatkan dirimu.”

Harun ar-Rasyid menangis dengan sangat kuatnya sehingga nampak ia akan jatuh pengsan. Melihat hal ini wazir Fazl menyentak Fuzail: “Cukup! Engkau telah membunuh pemimpin kaum Muslimin.”

“Diamlah Hamam! Engkau dan orang-orang yang engkau inilah yang telah menjerumuskan dirinya, kemudian engkau katakan aku yang membunuhnya. Apakah yang kulakukan ini suatu pembunuhan?”

Mendengar kata-kata Fuzail ini tangisan Harun ar-Rasyid semakin menjadi-jadi. “Ia menyebutmu Hamam,” kata Harun ar-Rasyid memandang Fazl. “Kerana ia menyamakan diriku dengan Firaun.”

Kemudian Harun bertanya kepada Fuzail: “Apakah engkau mempunyai hutang yang belum dijelaskan?”

“Ya,” jawab Fuzail. “hutang kepatuhan kepada Allah. Seandainya Dia memaksaku untuk menjelaskan hutang ini celakalah aku!”

“Yang kumaksudkan adalah hutang kepada manusia, Fuzail,” Harun menegaskan.

“Aku bersyukur kepada Allah yang telah mengurniakan kepadaku sedemikian banyaknya rezeki sehingga tidak ada keluh-kedah yang harus kusampaikan kepada hamba-hamba-Nya.”

Kemudian Harun ar-Rasyid menaruh sebuah bekas yang berisi seribu dinar di hadapan Fuzail sambil berkata: “Ini adalah wang halal yang diwariskan oleh ibuku.”

Tetapi Fuzail mengutuknya: “Wahai pemimpim kaum Muslimin, nasihat-nasihat yang kusampaikan kepadamu ternyata tidak ada faedahnya. Bahkan engkau telah memulakan lagi perbuatan salah dan mengulangi kezaliman.”

“Apakah perbuatan yang salah telah kulakukan?” tanya Harun ar-Rasyid.

“Aku menyerumu ke jalan keselamatan tetapi engkau menjerumuskan aku ke dalam godaan. Bukankah hal itu suatu kesalahan? Telah kukatakan kepadamu, kembalikanlah segala sesuatu yang ada padamu kepada pemiliknya yang berhak. Tetapi engkau memberikannya kepada yang tidak patut menerimanya. Aku memberi nasihat kepadamu tanpa mengenakan sedirham pun.”

Setelah berkata demikian, Fuzail berdiri dan melemparkan wang-wang emas itu keluar.

“Benar-benar seorang manusia yang hebat!” Harun ar-Rasyid berkata ketika ia meninggalkan rumah Fuzail. “Sesungguhnya Fuzail adalah seorang raja bagi umat manusia. Ia sangat alim dan dunia ini terlalu kecil pada pandangannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan